Thursday, November 17, 2011

Dunia Remaja Tak Susah ??


Siapa kata fasa remaja adalah fasa yang mudah untuk diredah? Terlalu banyak ujian dan mehnah yang perlu ditongkah. Meski susah dan payah, terus kita wajib gagah melangkah. Fasa hidup baru mula dijengah, dengan sifat ingin tahu kita mencuba segala yang di hadapan mata tersembah. Kadang-kadang kita tersungkur, terjelopok dek langkah yang salah. Namun kita bangkit semula dengan penuh gah. Ya! Bukankah kita muslim yang tabah, mengejar Redha Allah itu jangan pernah lelah. Kelak semua akan dinilai ditolak tambah, disoal ditanya sebanyak mana di dunia ini telah kita beribadah?

Fasa remaja adalah sebuah fasa yang menentukan peribadi seorang insan di masa hadapan. Susah bukan?
Jikalau baik usia mudanya, baiklah jua usia tuanya.

Lalu persoalan lain mula timbul, "Adakah ini bermakna, jika usia remaja milikkku sudah teruk dan buruk, buruklah jua usia tuaku?"

Bukankah Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Menerima Taubat hambanya. Bertaubatlah. Sekecil mahupun sebesar mana khilaf kita kepadaNya, hanya Dia yang akan menilainya. Bukan manusia. Pulanglah pada Yang Esa, kerana Dia yang Maha Mengetahui segala.

Oh Allah, Fasa remaja ini bagiku amatlah payah!
  1. Aku adalah seorang muslimah hamba Allah. Aku wajib menjaga ibadah.
  2. Aku adalah seorang umat Nabi Muhammad. Aku ingin menjadi sebaik-baik ummat.
  3. Aku adalah seorang anak. Aku ingin menjadi anak yang solehah.
  4. Aku adalah seorang kakak. Aku perlu menjadi contoh yang terbaik.
  5. Aku adalah seorang sahabat, rakan, teman. Aku mestilah sentiasa menjaga hak-hak dalam berukhuwah.
  6. Aku adalah seorang pelajar. Aku wajib laksanakan tanggungjawab saya sebagai pelajar.
  7. Aku adalah harapan agama, harapan umat dan negara. Aku wajib menjadi sebaik-baik insan.
  8. Aku adalah seorang remaja. Aku wajib memperbaiki peribadi supaya tak tersasar arah nanti.

Oh Allah, Kelak akan aku melangkah suatu fasa yang amat berbeza.

  1. Kelak akan aku menjadi seorang isteri. Menjadi Sayap kiri mujahid itu yang diimpikan.
  2. Kelak akan aku menjadi seorang ibu. Mendapat zuriat soleh solehah yang diharapkan.
  3. Kelak akan aku mula bekerja. Suri rumah tangga pun sebuah tanggungjawab juga.
  4. Kelak akan aku menyumbang tenaga buat agama. Tak mahu ketinggalan dalam barisan.

Oh Allah. Menjadi seorang remaja memang payah, susah. Tetapi hidup Rasulullah itu bukankah lagi mencabar usia remaja baginda?. Usia remaja para sahabat dahulu dihabiskan dengan beribadat. Berjuang, berperang menegakkan sebuah kalimat tidak hirau lelah dan penat.

No comments:

Post a Comment